Monday, August 22, 2016

Cara dan teknik tanam stevia

Bagaimana Menanam Stevia?

Ada dua cara untuk tanam stevia;
pertama dengan keratan batang,
kedua dengan benih.

Benih stevia amat halus dan memakan masa yang lama untuk membesar, saya syorkan menanamnya dengan batang.  Potong induk pada ranting yang kuat dan berkayu.  Buang daun dan tinggalkan tunas sahaja.  Celup ke dalam cecair penggalak akar (rooting agent), jika ada.

Lakukan sebelah petang.  Ini untuk mengelakkan keratan layu kerana panas matahari.

Saya syorkan supaya gunakan tanah kompos yang dicampur tanah liat.  Saya pernah cuba dengan tanah bakar, tetapi tidak menjadi.  Siram sedikit untuk lembapkan tanah.  Gunakan kayu penyepit atau ranting untuk buat lubang kira-kira 1 cm sedalam 4 cm.

Cucuk keratan stevia dan tutup ruang lubang dengan tanah kompos.  Jangan mampatkan tanah kerana ini akan mengurangkan ruang udara dalam tanah.  Jangan cucuk keratan tanpa membuat lubang terlebih dahulu kerana ini akan mencederakan keratan.  Kekalkan kelembapan tanah tetapi jangan siram terlalu banyak air.

Simpan di tempat redup.  Apabila stevia mula membesar, alih bekas ke tempat panas sekali sekala untuk kuatkan pokok.  Apabila batang berkayu telah tumbuh alih ke tempat kekal atau ke pasu yang lebih besar.